Untuk makluman, catatan kali ini akan mengambil masa beberapa hari kerana perlukan masa untuk memuat naik gambar. Selain itu, memandangkan aku membesar di Kuala Lumpur dan tidak mahir mengenai adat istiadat pepatih ini, aku perlukan masa mencari maklumat. Harap bersabar.
--------------------------------
Buat yang tidak tahu, keluarga di sebelah mama berasal dari Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan terdapat beberapa suku dan berdasarkan kepada perut yang mengandungkanku iaitu mamaku, aku adalah daripada suku Seri Lemak Pahang. Pada hari ini, 24 April 2011 jam 3.00 petang, satu majlis perlantikan Lembaga telah diadakan bagi keturunan Seri Lemak Pahang di Kampung Juak, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Kampungku masih mengamalkan adat Negeri. Pelantikan Lembaga bukan selalu diadakan. Ianya bukan seperti pilihanraya dimana akan diadakan dalam tempoh lima tahun. Aku sendiri hanya pernah mengikuti majlis pelantikan Buapak, Pak Dollah, beberapa tahun yang lepas. Memandangkan beliau telahpun meletak jawatan sebentar tadi kerana ingin bertanding jawatan Lembaga, maka adalah pelantikan Buapak baru serentak dengan pencalonan Lembaga.
Aku rasa kampungku, dalam tradisinya, telahpun menjadi moden. Aku ingat dahulu pelantikan Buapak memang diadakan majlis tetapi tadi, mantan Buapak hanya meletak jawatan dan terus sahaja melantik saudaranya sebagai Buapak baru sedangkan aku rasa perlunya ada pencalonan. Walau bagaimanapun, memandangkan aku tidak pernah mengambil tahu adatku sendiri, aku tidaklah boleh bersuara. Jadi salah satu misi aku sekarang adalah mendapatkan buku panduan mengenai adat pepatih. Aku bertanya juga kepada bapa saudaraku, beliau Pegawai Khas DYMM tetapi katanya diapun hanya ada satu salinan (sambil dia memeluk erat buku tersebut) dan tidak boleh pinjamkan kepadaku kerana sebagai ketua istiadat istana, dia amat memerlukan buku tersebut. Tak mengapa, jika ada rezeki, insya Allah aku akan berjumpa dengan buku tersebut. Jika ada yang tahu dimana boleh dapatkan buku adat istiadat pepatih, mintalah tolong tinggalkan pesanan kepadaku. Terima kasih.
Berbalik kepada ceritaku, hmm.... aku rasa dah lewat pula. Nantilah aku sambung, mungkin pada hujung minggu ini.



0 comments:
Post a Comment